Sebut 'Anak Papa' Ahli Parlimen Pendang Diarah Keluar Dewan

 


KUALA LUMPUR: Awang Hashim (PN-Pendang) diarah keluar dewan selepas mengeluarkan kenyataan “anak papa”, dipercayai merujuk kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang juga anak kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Beliau memberi gelaran itu ketika suasana persidangan tegang apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa usul dihantar beliau pada Selasa tidak mendapat maklum balas Pejabat Speaker, tetapi usul yang dihantar Taufiq semalam diluluskan untuk dibahaskan hari ini.

Usul itu berkaitan isu beras putih tempatan yang disorokkan di sebuah kilang di Kedah.





Ketika itu, Awang mencelah sambil menggelar ‘anak papa’ yang menimbulkan rasa tidak puas hati dari blok kerajaan yang memintanya menarik balik.

Beliau bagaimanapun tetap berdegil dan berkata: “‘Conflict of interest’ akan berlaku.”

Sebahagian Ahli Parlimen kerajaan berterusan mendesak Awang menarik balik kenyataan itu.

Taufiq kemudian mendesak Awang menjelaskan kenyataan itu.

“Jadi apa yang dimaksudkan oleh Pendang? Apa maksud ‘conflict of interest’? Ia bukan hanya anak papa… saya mohon penjelasan sehingga berkata demikian?.”

Bagaimanapun, pemimpin PAS itu enggan menarik kenyataan itu sehingga diarah keluar dewan oleh Timbalan Speaker Alice Lau.

“Semua anak papa, nak rasa buat apa? Yang dia (Taufiq) terasa buat apa?,” soal Awang.

Alice berkata Awang digantung seketika dan dibenar masuk semula ke dalam dewan pada mesyuarat sesi petang.

Catat Ulasan

0 Ulasan