Harimau Kumbang Mati Ditetak Dan Ditembak Akibat Serang Penduduk Kampung

 


Pihak Jabatan telah menerima aduan daripada pihak JAKOA dan Balai Polis Lintang pada 8hb Disember 2021 jam lebih kurang 8.30 malam berhubung kejadian seorang remaja Orang Asli yang cedera parah diserang oleh seekor harimau kumbang di kawasan Kg. Orang Asli Kelatap, Pos Perwor, Sungai Siput (U), Perak. 


Empat orang anggota Pejabat PERHILITAN Daerah Sungai Siput (U) telah menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi aduan pada 9 Disember 2021 jam lebih kurang 9.30 pg dan telah berrtemu dengan Tok Batin kampung tersebut iaitu En Yusof Bin Alang. Maklumat yang diterima daripada Tok Batin memaklumkan pada hari kejadian mangsa sedang mencari kayu untuk membuat tandas rumah di kawasan kebun getah di belakang rumahnya dan telah terserempak dengan hidupan liar berkenaan dan seterusnya menyerang mangsa. 


Pergelutan telah berlaku dan harimau kumbang berkenaan telah menerkam bahagian kepala dan badan mangsa, namun mangsa juga sempat menetak kepala dan peha sebelah kiri harimau kumbang berkenaan menggunakan parang dalam cubaan mempertahankan diri. Mangsa telah menjerit meminta tolong dan setibanya orang kampung, harimau kumbang berkenaan telah melarikan diri. 


Pada jam lebih kurang 12.20 tengahari, salah seorang anggota Jabatan yang sedang mengikut kesan jejak dan kesan darah harimau berkenaan dengan secara tiba-tiba cuba diserang oleh harimau berkenaan yang keluar dari kawasan kebun getah berhampiran. Dalam cubaan mempertahan diri, anggota Jabatan telah melepaskan 3 das tembakan menggunakan peluru OOB ke atas harimau kumbang berkenaan menyebabkan kematian.


Hasil siasatan ke atas bangkai hidupan liar berkenaan mendapati terdapat 7 kesan tetakan di bahagian kepala satu tetakan di bahagian peha sebelah kiri, dan seutas jerat dawai yang tersangkut pada pergelangan kaki belakang sebelah kanan. Bangkai harimau kumbang berkenaan telah dibawa pulang ke Pejabat PERHILITAN Daerah Sungai Siput (U), Perak. 















Mangsa Mohd Shaim Bin Abdullah telah mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki. Beliau kini sedang dirawat di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.

Catat Ulasan

0 Ulasan